Tuesday, November 03, 2009

Budget Speech (V):We Own Cars, Hence We Are Rich?

(Continuation of my 2010 Budget speech - Part I, Part II, Part III, Part IV)

...antara satu teras yang telah pun dibawa ke Dewan ini oleh Yang Berhormat Bagan adalah satu polisi untuk penyahpusatkan fiskal negara kita, penyahpusatkan fiskal dalam bahasa Inggeris fiscal decentralization.

Dalam fiscal decentralization kita bukan sahaja hendak kita punya negeri-negeri dapatkan wang yang lebih, kita minta supaya cukai-cukai yang diperolehi oleh kerajaan-kerajaan negeri, 20% diberikan balik kepada negeri-negeri asalnya tetapi bukan sahaja penyahpusatkan ini secara kewangan sahaja, kita juga minta supaya antara tugas-tugas yang tertentu, yang lebih baik dikendalikan di kawasan tempatan atau di kawasan negeri diberikan kuasa itu kepada pihak negeri.

Antara satu bidang yang di mana negeri boleh mengambil peranan yang lebih besar dan efektif adalah dalam bidang pengangkutan awam. Kita semua tahu pengangkutan awam di Malaysia ini mempunyai banyak masalah. Banyak masalah sebab penggunaan kereta swasta di negara Malaysia merupakan kadar penggunaan yang tertinggi di Asia Pasifik nombor empat selepas Australia, New Zealand dan juga Korea Selatan.

Kalau kita nampak angka kadar pemilikan kereta di Malaysia dua kali ganda berbanding dengan Thailand, tiga kali ganda berbanding dengan Singapura dan lima kali ganda berbanding dengan Filipina dan kalau kita nampak pemilikan kereta di Lembah Klang, kadar pemilikan telah meningkat daripada 25% pada tahun 1980 sehingga 99% pada tahun 2002. Saya tidak ada angka yang terkini, tetapi saya agak tidak jauh daripada 99% iaitu setiap orang yang tinggal di Lembah Klang mempunyai kereta dan pemilikan rakyat atas 18 tahun di Malaysia adalah 67% dan ini adalah angka 2006 saya agak ia pun telah meningkat.

So, rakyat Malaysia memiliki kereta saya agak bukannya kerana kita berkemampuan besar, bukan kerana kita kaya tetapi kita terpaksa. Di Lembah Klang, kalau kita tidak ada kereta memang susah. Kenapa susah, sebab sistem pengangkutan awam kita tidak dapat diharapkan kecuali kita tinggal amat berdekatan dengan tempat LRT ataupun tempat perhentian bas, memang susah hendak menggunakan sistem pengangkutan awam di Malaysia.

Apabila saya naik bas, saya juga naik bas, saya pergi Pulau Pinang dengan katakan Firefly dapat tiket Firefly, saya naik bas Rapid Penang percuma dari lapangan terbang ke bandar George Town, percuma. Apabila saya naik bas, saya nampak 90% itu pekerja asing, bukan orang tempatan. Orang tempatan tidak menggunakan pengangkutan awam dan ini merupakan satu masalah yang besar sebab kalaulah kita dapat mempertingkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia, kita akan dapat meningkatkan penggunaan sistem tersebut dan kita juga akan meningkatkan disposable income orang ramai supaya mereka boleh menggunakan wang tersebut bukan untuk membeli kereta, tetapi untuk perbelanjaan yang lain dan meningkatkan mutu life style.

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Pasir Salak bangun. Hendak beri jalan?

Tuan Pua Kiam Wee [Petaling Jaya Utara]: Sekali. Pendek.

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Petaling Jaya Utara. Yang Berhormat sebut tadi bahawa orang beli kereta kerana terpaksa, mana Yang Berhormat tahu? [Ketawa]

Belum habis lagi, soalan belum habis. Tunggu dahulu. Kalau dia terpaksa, maknanya orang tidak mampu beli kereta, kalau dia tidak mampu macam mana dia boleh bayar. Orang yang tidak mampu bayar, barulah dia terpaksa. Ini dia boleh bayar setiap bulan, apa pula terpaksa. Lagi satu ini belajar Cambridge Oxford, tetapi otak tidak betul, tidak reti ekonomi. Apa pasal? Apabila kereta banyak, itu menunjukkan bahawa negara ini maju. Itu as simple as that Tuan Yang di-Pertua. Pergi belajar baliklah, Cambridge kah?

Tuan Pua Kiam Wee [Petaling Jaya Utara]: Saya tidak akan menjawab soalan daripada “katak yang berada di bawah tempurung”. [Tepuk]
Post a Comment