Wednesday, November 04, 2009

Budget Speech VII: Minister of Transport Can't Be Trusted?

Continuation of my 2010 Budget speech [taken verbatim as I speak hence will not read like prepared text] - Part I, Part II, Part III, Part IV, Part V, Part VI)

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan satu suruhanjaya yang baru, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat iaitu nama baru tapi konsepnya konsep lama. Tahun lalu bulan Jun, Perdana Menteri masa itu telah pun mengumumkan satu Suruhanjaya Pengangkutan Awam, tak ada “Darat” masa itu. Sekarang ada darat, tetapi langsung tidak ada mesyuarat, macam tidak ada mesyuarat, tidak ada progress report, tidak tahu selepas pengumuman apa yang telah dibuat dan sekarang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kata suruhanjaya ini akan berfungsi tahun depan. So dua tahun selepas satu suruhanjaya ditubuhkan, baru sahaja hendak berfungsi.

Kerajaan boleh melengah-lengahkan masa tapi rakyat tidak dapat menunggu. Kalau benar-benar kerajaan mengutamakan rakyat dan mendahulukan pencapaian, sepatutnya suruhanjaya ini telah pun ditetapkan enam bulan lalu dan kerja telah bermula. Kita nampak dua kali, tahun 2007, satu rangkaian baru daripada Cheras ke Kota Damansara diumumkan dan kita nampak sekali lagi tahun lalu rangkaian yang sama tetapi apabila kita tanya, oh! itu hanya cadangan sahaja, tidak ada plan lagi. Kita tidak tahu bila cadangan itu akan menjadi satu hakikat.

So antara satu isu yang kita perlu atasi sebelum kita cuba menyelesaikan masalah sistem pengangkutan awam adalah cara kerajaan kita menguruskan sistem pengangkutan awam. Penubuhan satu suruhanjaya yang baru tidak akan menyelesaikan masalah ini. Apa sebabnya? Sebab kita ada sekurang-kurangnya 13 agensi dalam empat atau lima kementerian yang menjaga pengangkutan awam. Apabila saya bercakap tentang pengangkutan awam di sini, saya sebenarnya tak tahu siapa yang akan jawab.

Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Satu soalan yang pendek sahaja. Saya hendak tahu apakah pandangan Yang Berhormat. Mengapa dalam Suruhanjaya Pengangkutan Awam ini, setahu saya Menteri Pengangkutan tidak terlibat dalam suruhanjaya ini dan bukan dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan. Apa sebabnya agaknya?

Tuan Pua Kiam Wee [Petaling Jaya Utara]: Saya pun akan datang kepada point tersebut. Apabila saya minta siapa yang menjawab, bila saya ada soalan lisan terhadap berapa pengguna sistem pengangkutan awam di Malaysia, jawapan kalau datang daripada Menteri Pengangkutan, dia beri sahaja pengguna rail, pengguna KTM. Kalau datang daripada Kementerian Kewangan, pengguna bas. Kalau datang daripada Jabatan Perdana Menteri, pengguna teksi. So siapa yang jawab? Adakah satu penyeluruhan perkara ini? Siapa yang akan bertanggungjawab dan oleh sebab itu saya setuju dengan Yang Berhormat Rasah, kenapa tidak ada seorang Menteri yang bertanggungjawab?

Saya pun ragu kenapa Menteri Pengangkutan tidak diberikan tanggungjawab sistem pengangkutan. Kenapa apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dan juga Koperasi dibubarkan dan LPKP menjadi bebas, LPKP tidak dimasukkan ke dalam Kementerian Pengangkutan yang memberikan lesen kepada teksi dan bas.

Akan tetapi pula diagihkan kepada Jabatan Perdana Menteri. Adakah kerajaan tidak percaya dengan Menteri Pengangkutan yang kita ada? Adakah itu masalahnya?

Secara kesimpulannya saya minta supaya kerajaan mempertimbangkan cadangan daripada kita supaya tugas penyelarasan dan tugas pelaksanaan sistem pengangkutan awam juga seperti wang cukai diagihkan kepada pihak negeri. Sekarang masalahnya macam ini, kita ada di pusat, yang di pusat kena diaturkan perkara public transportation di Pulau Pinang, perkara transportation di Kuching. Semua kena aturkan. Adakah semua pekerja di Kerajaan Pusat ini berpengetahuan mengenai isu-isu pengangkutan awam di kawasan-kawasan tersebut. Tidak mungkin pandai pun dia tahu semua tempat. Oleh sebab itu kuasa ini perlu diagihkan kepada pihak berkuasa tempatan. Lain-lain negara pun semua macam ini di Amerika Syarikat, di UK, kuasa untuk menjaga pengangkutan awam adalah berada di tangan pihak berkuasa tempatan.

Wang perlu diagihkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menubuhkan setiap pihak berkuasa tempatan menubuhkan satu Lembaga Pengangkutan Awam Tempatan supaya pengangkutan awam dapat dikendalikan di tempat-tempat tertentu oleh pihak berkuasa tempatan dan bukannya oleh Kerajaan Pusat. Kalau kita bergantung kepada Kerajaan Pusat, kita nampak dalam bajet ini hanya Lembah Kelang yang diambil penting. Ya, saya benifit sebab saya MP bagi Petaling Jaya Utara, tetapi kawan-kawan kita di Ipoh, kawan-kawan kita di Johor Bahru, kawankawan kita di Kuantan, Pulau Pinang semua macam dipinggirkan. Seremban juga, Seremban bukan Lembah Klang?

So, kita harap kerajaan akan memberikan kepentingan untuk struktur semula macam mana cara sistem pengetahuan awam dikendalikan, dilaksanakan, dijalankan dalam kementerian-kementerian kerajaan. Nombor dua, kuasanya diagihkan kepada pihak berkuasa tempatan, pihak berkuasa tempatan yang penuh pengetahuan mengenai situasi-situasi tempatan boleh mengendalikan satu sistem pengetahuan awam yang lebih wajar, lebih munasabah bagi penduduk-penduduk tempatan.
Post a Comment