Thursday, May 19, 2016

Kenyataan Media Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang Mewakili Pihak Pembangkang Parlimen Mengenai Laporan PAC Terhadap 1MDB

1. Laporan Ketua Audit Negara di bawah Akta Rahsia Rasmi

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam, isu sebab Laporan Ketua Audit Negara berkenan 1MDB tidak dibentangkan kepada Parlimen telah dibincang.

Ahli-ahli Parlimen PAC pembangkang yang hadir telah menegaskan bahawa Ketua Audit Negara hanya meminta Laporan Ketua Audit Negara dirahsiakan secara rasmi sehingga Laporan PAC dibentangkan.  Pendirian ini juga telah diakui oleh Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin dalam kenyataan media beliau pada 7 Mac 2016.

Akan tetapi, Pengerusi PAC telah menyatakan pendirian yang berbeza semalam bahawa hak untuk deklasifikasi Laporan Ketua Audit Negara adalah dengan pihak eksekutif kerajaan dan tidak dengan PAC.

Beliau hanya akan menulis surat kepada pihak eksekutif untuk bertanya sama ada mereka akan deklasifikasi Laporan tersebut.

Kami berpendapat bahawa kuasa untuk membentangkan Laporan Ketua Audit Negara terletak dengan PAC, kerana Laporan PAC kami sendiri telah memetik maklumat-maklumat secara langsung daripada Laporan Ketua Audit Negara.

Apatah lagi, kami berpendapat bahawa tiada sebarang maklumat yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara mempunyai unsur-unsur yang akan menjejaskan keselamatan negara yang perlu dirahsiakan.

Kami amat menyesali pendirian Pengerusi PAC yang telah melepaskan kuasa jawatankuasa Parlimen yang bertanggungjawab untuk menjadi institusi semak dan imbang kepada kerajaan, kepada pihak eksekutif kerajaan.

2. Surat Bank Negara Malaysia kepada PAC bertarikh 6 April 2016

Kami amat terkejut apabila Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman menjawab dalam parlimen bahawa Pengerusi PAC telah menerima sepucuk surat daripada Timbalan Gabenor Bank Negara yang tarikh 6hb April 2016.  Kami tidak pernah dimaklum oleh Pengerusi PAC sebelum ini mengenai surat tersebut.

Menurut Menteri, surat ini menjadi alasan kepada Datuk Hasan Arifin untuk membuat keputusan meminda Laporan PAC yang telah diluluskan oleh mesyuarat PAC pada 4hb April 2016.  Oleh sebab itu, ayat-ayat yang menyebut bahawa Bank Negara telah mengesahkan bahawa syarikat Good Star Limited adalah dimiliki oleh seorang individu yang tiada kaitan dengan Petrosaudi International Limited telah dipotong daripada Laporan PAC tanpa sebarang rundingan dengan ahli-ahli PAC.

Kami telah meminta supaya Pengerusi PAC menunjukkan surat tersebut kepada semua ahli-ahli PAC semalam.

Sekali lagi, kami terkejut apabila Datuk Hasan enggan menunjukkan surat tersebut kepada ahli-ahli jawatankuasa walaupun surat tersebut telah ditulis kepada Pengerusi PAC bagi pihak seluruh jawatankuasa.

Surat yang bertarikh 6hb April tersebut adalah balasan kepada soalan-soalan yang telah dibangkitkan oleh pihak PAC pada 4hb April dan diputuskan supaya Pengerusi menulis kepada Bank Negara untuk mendapat penjelasan selanjutnya.

Keengganan Datuk Hasan untuk mengedarkan surat rasmi tersebut kepada ahli-ahli PAC merupakan kali pertama dalam sejarah PAC di mana maklumat yang telah diterima oleh Pengerusi PAC tidak dikongsikan dengan ahli-ahli jawatankuasa.  Tindakan beliau merupakan satu penghinaan kepada ahli-ahli PAC yang dilantik oleh Parlimen sendiri.

Ini telah membangkitan perasaan kecurigaan terhadap Datuk Hasan, sama ada beliau sengaja menyembunyikan surat tersebut supaya maklumat-maklumat penting yang akan membuktikan penyelewengan antara 1MDB dan Good Star Limited tidak didedahkan.

Kami meminta supaya kalau benar-benar tiada “cover up” berlaku, surat tersebut yang merupakan satu dokumen yang perlu dinilai oleh PAC mesti ditunjuk kepada ahli-ahli jawatankuasa dengan serta-merta.

Dikeluarkan oleh:

Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi PAC
Datuk Kamarul Baharin
William Leong
Datuk Takiyuddin Hassan
Tony Pua

No comments: