Wednesday, July 17, 2013

Sistem Rel Iskandar RM1 billion Diswastakan Secara Rundingan Terus

Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak telah berjanji untuk menjalankan sistem tender terbuka dalam semua perolehan kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan mengurangkan rasuah. Akan tetapi kontrak kerajaan bernilai berbilion-bilion ringgit masih ditawarkan secara rundingan terus tanpa sebarang tender terbuka selepas pilihanraya umum ke-13.

Syarikat Malaysian Steel Works (Masteel) Bhd telah mengumumkan pada 31hb Mei 2013 melalui Bursa Malaysia bahawa mereka telah menghadiri satu mesyuarat dengan Jawatan Kerjasama Awam Swasta (UKAS) yang dipengerusi oleh Menteri Kewangan Kedua, Dato’ Ahmad Husni Hussain.

Dalam mesyuarat tersebut, anak syarikat Masteel iaitu Metropolitan Commuter Network (MCN) telah diberikan kebenaran untuk memuktamadan struktur pinjaman mudah sebanyak RM700 juta daripada pihak kerajaan untuk membina satu sistem rail yang baru di Iskandar Malaysia. Sistem rel ini akan melingkungi 20 stesyen termasuk Kulai, Gelang Patah, Nusajaya, Johor Baru dan Masai.

MCN merupakan satu syarikat usahasama di mana Masteel memiliki 60%, manakala syarikat KUB Bhd di mana UMNO mempunyai kepentingan, memiliki 40%.

Dalam satu temuramah dengan The Edge Malaysia bertarikh Jun 17, CEO Masteel, Dtauk Seri Tai Hean Leng telah menjelaskan bahawa MCN akan melabur sebanyak RM300 juta untuk melaksanakan projek ini dengan pinjaman “soft loan” RM700 juta daripada kerajaan.  Mereka akan diberikan konsesi untuk menjalankan sistem komuter ini selama 37 tahun walaupun MCN akan dapat “break even” selepas 12 tahun.

Sebahagian daripada konsesi tersebut termasak sekeping tanah sebesar 14.3ha di Kempas, Johor yang akan diberikan kepada MCN untuk bukan sahaja membina depot, tetapi juga untuk membina bangunan komersil.  Mengikut kata Datuk Seri Tai, “tanah ini adalah tanah pilihan kerana ia bersebelahan dengan Setia Tropicana”.

Kami ingin mempersoalkan asas pihak kerajaan telah memilih syarikat Masteel untuk projek rel ini secara rundingan terus.  Mengapa pihak kerajaan tidak menjalankan tender terbuka untuk projek sebegini? Soalan juga tertimbul di mana apakah keperluan untuk menswastakan projek ini jika kerajaan perlu membiayai 70% daripada kos pembinaan melalui pemberian pinjaman mudah?

Tambahan lagi, syarikat Masteel bukan merupakan syarikat yang berpengalaman dalam bidang rel.  Aktiviti utama Masteel adalah pembuatan dan pembekalan pelbagai jenis keluli di Malaysia.  Syarikat tersebut yang hanya memperolehi keuntungan bersih RM24 juta pada tahun 2012 tidak pernah terlibat dalam kerja-kerja pembinaan dan pengoperasian rel.  Adakah syarikat Masteel merupakan syarikat yang terbaik untuk melaksanakan projek RM1 bilion ini dengan bantuan kerajaan sebanyak RM700 juta?

Pihak kerajaan perlu menjelaskan rasional untuk meneruskan tawaran projek secara rundingan terus, terutamanya bila ia kerap-kali ditawarkan kepada syarikat-syarikat yang tiada berpengalaman dan tidak mempunyai dana kewangan yang mencukupi. Apatah lagi pihak kerajaan perlu memperuntukkan pinjaman yang cukup besar walaupun pihak konsesi akan dapat menerima pulangan modal dalam jangka masa singkat.

Pihak PEMANDU telah mengemukakan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) pada tahun 2009 untuk mempertingkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam segala perolehan kerajaan, demi mengurangkan pembaziran dan rasuah.  Akan tetapi sampai hari ini, kita dapat melihat bahawa kerajaan hanya cakap tak serupa bikin.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak sendiri telah berjanji supaya “reformasi” akan diteruskan jika BN dipilih semula sebagai kerajaan.  Adakah kesemua ini merupakan janji-janji kosong di mana pihak kroni BN akan diberikan kepentingan dan kekayaan.
Post a Comment