Tuesday, July 02, 2013

There are Lies, Damned Lies, and Utusan

Rencana Awang Selamat semalam dalam Mingguan Malaysia menuduh bahawa “pemimpin DAP, Tony Pua dalam reaksinya mengeluarkan kenyataan provokatif. Beliau mencadangkan pasar Ramadan turut ditutup kerana didakwanya menyebabkan kesesakan lalu lintas.”

Awang Selamat menulis bahawa “kenyataan” saya “ternyata menyinggung perasaan umat Islam lebih-lebih lagi menjelang Ramadan. Awang tidak terkejut. DAP memang parti paling rasis dan selalu mencabar kepentingan Islam.”

Awang Selamat berkata bahawa saya “mengambil mudah kesabaran orang Islam, yang ada batasnya… elok sahaja beliau berhijrah ke Taiwan atau Hong Kong.”

Ada pepatah orang putih yang berbunyi “there are lies, damned lies and statistics”.  Saya rasa lebih sesuai jika pepatah tersebut diubah menjadi “there are lies, damned lies and Utusan”.  Utusan Malaysia merupakan sebuah akhbar tanpa moral, yang lidah bercabang bagai biawak.

Terlebih dahulu, saya ingin menyatakan secara terus-terang bahawa saya tidak pernah meminta supaya pasar Ramadan ditutup.  Oleh sebab itu, isu “menyinggung perasaan umat Islam” atau “mengambil mudah kesabaran orang Islam” langsung tidak terbangkit.

Utusan Malaysia hanya mengemukaan pembohongan dan memutar-belitkan segala kenyataan pemimpin DAP secara 180 darjah, untuk memberikan persepsi palsu bahawa DAP merupakan “parti rasis” yang sentiasa “mencabar kepentingan Islam”.

Dalam persidangan media di Parlimen pada Rabu, 26hb Jun 2013 minggu lalu bersama Ahli Parlimen Bukit Katil dan Kota Melaka, Shamsul Iskandar dan Sim Tong Him, kami tidak pernah mendesak penutupan pasar Ramadan.

Sebaliknya, selain daripada isu Jonker Walk, kami telah membangkitkan isu bahawa kerajaan UMNO Melaka telah mengeluarkan arahan untuk menutup bazaar Ramadan di Taman Cempaka, di kawasan parlimen Bukit Katil.  Kami telah membantah tindakan kerajaan UMNO Melaka yang menganiayai lebih daripada 300 penjaja-penjaja di bazaar Ramadan Taman Cempaka yang merupakan antara terbesar dan terpopular di Melaka.  Malah lesen-lesen yang telahpun ditawarkan kepada pihak penjaja di sana telah ditarik balik tergesa-gesa.

Walaupun kedua-dua pasar Jonker Walk dan bazaar Ramadan Taman Cempaka mempunyai sejarah selama 13 tahun, ia ditutup oleh kerajaan UMNO kerana MCA tewas di Kota Melaka, dan UMNO, yang diwakili oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam tewas di Bukit Katil.  Ini merupakan tindakan balas dendam oleh Ketua Menteri Melaka yang baru, Datuk Idris Haron, yang mungkin masih didalangi oleh Datuk Seri Ali Rustam,  yang tidak puas hati dengan rakyat yang memberikan sokong kepada Pakatan Rakyat.

Sidang media kami pada 26hb Jun jelas menunjukkan bahawa UMNO sendiri yang telah menutup bazaar Ramadan, dan bukannya DAP atau Pakatan Rakyat yang tidak berkuasa berbuat begitu.

Saya telah merujuk semula video sidang media hari tersebut dan mencatat perkataan-perkataan yang saya telah sebut, yang telah diputar-belitkan oleh Utusan Malaysia.
“Akhir sekali, kalau katakan satu-satu pasar malam, atau pasar tani, atau bazaar Ramadan akan menyebabkan kesesakan lalulintas, maka saya rasa semua pasar-pasar, semua pasar tani di Melaka, di mana-mana negeri pun patut dibatalkan secara langsung. 
Kenapa tutup saja di Jonker Walk atau di Taman Cempaka? So kita rasa segala tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Melaka adalah tindakan politik yang langsung tidak mengambil kira keperluan rakyat di Malaysia dan hanya mengambil (kira) kepentingan Umno mereka sendiri.”
Konteks kenyataan saya yang menyoal tindakan kerajaan UMNO Melaka adalah jelas.  Hanya yang bodoh, atau yang berniat jahat sengaja memberikan maksud lain kepada apa yang saya sebut.  Saya telah menyindir logik Ketua Menteri Melaka yang memberikan alasan tidak wajar bahawa pasar Jonker Walk dan Taman Cempaka ditutup untuk menyelesaikan kesesakan jalanraya.  Kami tidak boleh terima alasan tersebut kerana alasan tersebut akan menyebabkan semua pasar malam, pasar tani dan bazaar Ramadan ditutup, dan bukan sahaja di Jonker Walk dan Taman Cempaka.

Saya mencabar Utusan Malaysia untuk memperbetulkan tuduhan liar mereka.  Saya akan memberikan peluang kepada Utusan untuk menerbitkan berita bahawa sekarang, adalah Ahli Parlimen DAP yang mempertahankan hak orang Islam untuk mengekalkan pasar Ramadan yang selama 13 tahun disambut baik oleh rakyat di Melaka.  Saya juga mencabar Utusan untuk membongkarkan kebenaran bahawa yang menutup bazaar Ramadan, “yang menyinggung perasaan umat Islam lebih-lebih lagi menjelang Ramadan” adalah kerajaan UMNO-Barisan Nasional di Melaka.
Post a Comment