Wednesday, July 03, 2013

Menteri Pengangkutan Tidak Mengambil Berat Skandal RM4 bilion KLIA2

Jawapan Menteri Pengangkutan kepada soalan skandal RM4 bilion KLIA2 menonjolkan sikap tidak kesah ke atas isu ketirisan, kebertanggungjawaban dan pembaziran dalam projek kawalan kementerian

Dalam soalan lisan saya bertarikh 1 Julai 2013, saya telah meminta Menteri Pengangkutan menyatakan tarikh baru KLIA2 akan disiapkan dan impak kos kepada MAHB atas kelewatan projek tersebut.

Menteri Pengangkutan telah menjawab bahawa walaupun tarikh pembukaan KLIA2 telah ditunda ke 2 Mei 2014, “kelewatan KLIA2 tidak langsung menjejaskan keuntungan MAHB kerana ianya tidak ada kesan langsung pada urusan perniagaan syarikat MAHB”.

Menteri juga berkata bahwa “kelewatan tersebut juga tidak menjejaskan operasi dimana syarikat masih mengekalkan “Triple A” rating… berdasarkan agensi penarafan RAM Rating Services Sdn Bhd.

Jawapan yang ringkas di atas, terhadap skandal KLIA2 yang kos telah meningkat dari peruntukan awal sebanyak RM1.7 bilion ke anggaran RM4 bilion sekarang menunjukkan bahawa Menteri Pengangkutan langsung tidak mengambil berat atau serius untuk mengatasi masalah ini.  Apatah lagi, projek gergasi ini telah ditunda berkali-kali sejak tarikh siap bina asal yang dijadualkan pada September 2011.

Kalau benar-benar “kelewatan KLIA2 tidak langsung menjejaskan keuntungan MAHB”, maka biarlah pembinaan KLIA2 mengambil masa 3 sehingga 4 tahun lagi.  Apa perlunya kita nak tergesa-gesa menyiapkan lapangan terbang “kos rendah” yang baru ini?  Jawapan Menteri adalah langsung tidak masuk akal dan menyifatkan sikap tidak bertanggungjawab ke atas pelaburan dan perbelanjaan syarikat milik kerajaan.

Walaupun saya bukan Menteri, saya boleh senaraikan beberapa impak yang serius ke atas keuntungan MAHB.  Jika kos pembinaan KLIA2 terus meningkat akibat kelewatan projek, keuntungan MAHB tak mungkin tak terjejas.  Adalah perlu ditekan di sini, bahawa Menteri juga telah mengelak daripada memberikan sebarang jaminan kos tidak akan melebihi RM4 bilion seperti yang telah diumumkan sebelum ini, walaupun beliau disoal.

Kedua, MAHB telah pun mengambil pinjaman sebanyak RM3.1 bilion untuk menampung kos pembinaan KLIA2 dan mereka perlu membayar faedah tiap-tiap tahun kepada pihak peminjam.  Tanpa pendapatan daripada KLIA2 yang telah ditunda pembukaannya melebihi 2 tahun, ini sekali lagi menjejaskan secara langsung keuntungan MAHB.

Ketiga, oleh kerana LCCT sekarang hanya mampu menampung pengguna seramai 15 juta orang, MAHB juga kehilangan peluang untuk meningkatkan keuntungan syarikat daripada berjuta-juta pihak pengguna yang baru melalui peningkatan jumlah kapal terbang yang boleh menggunakan kemudahan baru di KLIA2.

Keempat, kelewatan dan peningkatan kos pembinaan KLIA2 hanya akan memberikan kesan negatif kepada rancangan kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub penerbangan kos rendah di perantauan Asia.

Akhir sekali, MAHB dapat mengekalkan “Triple A” rating bukannya kerana MAHB berada di “kedudukan kewangan yang baik” tetapi kerana agensi-agensi penarafan faham bahawa, jika ada apa-apa kekurangan dari segi kewangan, pihak kerajaan Malaysia sudah tentunya akan memberikan bantuan “bailout” kepada MAHB.  Tambahan pula, walaupun kos KLIA2 telah meningkat secara mendadak, kos ini hanya akan “dipindahkan” kepada pihak pengguna dengan “airport tax” yang lebih tinggi. Sebenarnya, cukai lapangan terbang telahpun meningkat sebanyak 28% pada November 2011 dari RM25 ke RM32 di LCCT untuk menanggung kos pembinaan KLIA2 yang meningkat.

Menteri Pengangkutan mesti bertanggungjawab ke atas skandal KLIA2 ini, terutamanya sebab Setiausaha Agung Kementerian Pengangkutan, Datuk Long See Wool merupakan Pengarah syarikat MAHB selama ini.  Sekali lagi, kami berharap Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak akan bertidak serupa dengan bekas Menteri, Datuk Seri Kong Cho Ha yang tidak memberikan keprihatinan langsung kepada projek ini, dan menyebabkan KLIA2 terus bermasalah.  Kami menyeru supaya Datuk Seri Hishamuddin akan menubuhkan satu jawatankuasa siasat yang bebas untuk memberikan kebenaran kepada rakyat Malaysia yang cukup kecewa dengan kedudukan KLIA2.

No comments: