Friday, July 12, 2013

Apakah Sebab Malindo Air Diberikan Layanan Istimewa Daripada Najib?

Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak telah melancarkan syarikat penerbangan Malindo pada tahun lalu 12hb September.  Malindo Air yang merupakan hasil usahasama antara National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI) dan PT Lion Group, diumumkan oleh Perdana Menteri bahawa akan mula beroperasi pada 1 Mei 2014.

Masalah percanggahan kepentingan telah berlaku dalam jawapan yang telah diberikan oleh Kementerian Pengangkutan kepada saya pada minggu lalu, 4hb Julai 2013, di mana pihak Menteri memaklumkan bahawa Malindo Air hanya diberikan Lesen Perkhidmatan Udara oleh Jabatan Penerbang Awam (DCA) pada 28 Februari tahun ini.

Maksudnya, Dato’ Seri Najib Razak telah melancarkan dan mengumumkan tarikh operasi sebelum DCA dapat menjalankan audit ke atas kelayakan syarikat tersebut untuk memperolehi lesen berkenaan.  Kejadian ini telah memberikan bukti yang lebih kukuh bahawa Malindo Air telah diberikan sokongan luarbiasa daripada Perdana Menteri sendiri sehingga kekurangan-kekurang lain syarikat tersebut diabaikan.

Mengikut jawapan Menteri Pengangkutan, antara kriteria dalam memberikan lesen perkhidmatan udara adalah “kedudukan kewangan yang kukuh” dan “lulus dalam menjalani audit teknikal”.

Mengikut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terkini, Malindo Air hanya mempunyai “paid up capital” sebanyak RM1 juta sahaja.  Pemilik saham utama Malindo Air, syarikat NADI, seperti yang telah dibongkarkan tahun lalu, telah melanggari Akta Syarikat 1965 kerana tidak memfailkan penyata kewangan mereka sejak tahun 2007, atau 6 tahun berturut-turut!

Saya ini bertanya kepada pihak Kementerian Pengangkutan, adakah sebuah syarikat yang hanya berkapita sebanyak RM5 juta, yang dimiliki oleh sebuah syarikat yang melanggari undang-undang dan tidak mempunyai penyata kewangan terkini, layak untuk diiktiraf “berkedudukan kewangan yang kukuh”?

Apatah lagi, syarikat usahasama PT Lion Group merupakan syarikat penerbangan yang mempunyai trek rekod yang amat diragui di Indonesia dan antarabangsa.

Adakah Kementerian sedar bahawa Lion Mentari Air adalah syarikat penerbangan yang diharamkan di European Union atas sebab “safety concerns due to alleged poor maintenance and regulatory oversight standards on the part of the EU, preventing them from entering the airspace of any member state”.

[Senarai penuh syarikat penerbangan yang diharamkan boleh diperolehi di sini.

Baru-baru ini, pada bulan April, sebuah kapal terbang Lion Air terhempas di Bali (gambar dibawah).  Tahun lalu, ramai juruterbang Lion Air ditahan kerana menagih dadah dan syarikat tersebut dihukum oleh Kementerian Pengangkuatan Indonesia.  Dan pada Julai 2011, perkhidmatan Lion Air digantung beberapa bulan atas “on-time performance” yang terlalu teruk.  Isu-isu di atas masih belum mengambilkira banyak kemalangan yang telah berlaku sebelum 2011.

Kami mengalu-alukan persaingan yang lebih sengit dalam sektor penerbangan di Malaysia.  Rakyat Malaysia akan lebih beruntung dengan tambang penerbangan yang lebih murah dan kompetitif.  Akan tetapi, lesen yang ditawarkan kepada Malindo Air ini amat diragui dan soalan-soalan integriti tertimbul atas isu-isu kewangan dan keselamatan yang telah saya bangkitkan.

Soalan yang paling perlu dijawab oleh Datuk Seri Najib Razak, adalah sama ada Lesen Perkhidmatan Penerbangan ini telah diluluskan atas pemilikan saham 10.5% syarikat NADI oleh DZJJ Sdn Bhd, yang dimiliki oleh anak-anak Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Nur Anis binti Jamaluddin dan Ikhwan Hafiz bin Jamaluddin, yang berumur 27 dan 25. 5.7% syarikat NADI juga dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Soalan ini penting kerana ini menunjukkan bahawa Malaysia, selepas “transformasi” Datuk Seri Najib Razak, masak dipengaruhi dengan gejala kroni Barisan Nasional.
Post a Comment