Thursday, April 05, 2012

2012 Supplementary Budget Speech Part 1: 1MDB-PetroSaudi

1MDB-PetroSaudi

1Malaysia Development Bhd (1MDB) merupakan sebuah syarikat yang dimiliki kerajaan sepenuhnya dan segala pinjaman yang diperolehi oleh 1MDB ini adalah dijamin oleh kerajaan persekutuan.

Dengan itu, segala perbelanjaan 1MDB sepatutnya tidak berbeza dengan perbelanjaan kerajaan secara langsung.  Akan tetapi, 1MDB diberikan kuasa mutlak untuk membuat pelbagai perbelanjaan atau pelaburan tanpa pantauan secara langsung daripada parlimen.
Ketua Pembangkang pernah dua kali membangkit kan isu “pelaburan” 1MDB ke dalam syarikat usahasama bersama Petrosaudi International Limited pada tahun lalu.  Akan tetapi tiap kali beliau tidak mendapat jawapan yang menyeluruh atau yang memberikan penjelasan terperinci mengenai pelaburan tersebut.

Saya ingin membangkitkan isu ini sekali lagi dengan maklutmat-maklumat baru kerana ini isu besar dan serious, dan memerlukan jawapan yang munasabah daripada kerajaan.

Pelaburan ini merupakan pelaburan wang rakyat yang cukup besar – US$1 bilion pada Sep 2009. Pelaburan ini adalah sebagai modal untuk pegangan saham 40% dalam syarikat usahasama 1MDB-Petrosaudi.

Walaupun PetroSaudi sepatutnya menyuntik US$1.5 bilion untuk memenuhi syarat ekuiti 60%, Petrosaudi dibenarkan menyuntik sebuah asset medan minyak tengah Laut Caspian yang “berpotensi”.  Maksudnya, yang disuntik bukannya wang tunai seperti pelaburan 1MDB.  Yang disuntik adalah satu kawasan laut yang mungkin ada minyak.

Yang anehnya, 1MDB membuat keputusan untuk melupuskan pegangan saham dalam syarikat usahasama tersebut dengan menukar ekuiti kepada pinjaman Nota Murabaha yang bernilai US$1.2 bilion.  Nota Murabaha ini bukannya pinjaman biasa di mana pinjaman dibayar balik secara beransur.  Untuk jangkamasa 11 tahun, Petrosaudi hanya perlu bayar balik nilai kupon sahaja sebanyak 8.67%, sebelum kesemua hutang dibayar dengan sepenuhnya selepas 11 tahun.

Adakah matlamat 1MDB ini untuk menjadi Ah-Long besar antarabangsa?  Kenapa kalau tak ingin lagi melabur dalam syarikat usahasama, kita tak minta wang dipulangkan kepada kita?

Siapa syarikat Petrosaudi ini sebenarnya?  Mengikut laman web Petrosaudi International – ia merupakan sebuah syarikat yang baru ditubuhkan pada tahun 2005, tak sampai 4 tahun pun apabila 1MDB membuat pelaburan sebanyak US$1 bilion.

Siapa yang memiliki syarikat Petrosaudi ini? Mengikut laman web Petrosaudi International diasaskan oleh Tarek Essam Ahmad Obaid bersama beberapa pelabur persendirian yang tidak dinamakan.

Siapa ini Tarek Essam Ahmad Obaid?  Yang pelik, jika kita buat carian Google – namanya hanya muncul selepas perjanjian antara 1MDB dan Petrosaudi dibuat.  Langsung tidak ada berita mengenai Sheikh Tarek Essam ini di mana-mana pun yang boleh memberikan latar belakang beliau dengan lebih jelas.

Dewan ini juga ingin mengetahui apakah perkembangan explorasi di medan minyak atas laut yang disuntik sebagai ekuiti kepada syarikat usahasama?  Ada dapat gali minyak?  Ataupun kesemuanya masih air laut sahaja?

Adakah syarikat Petrosaudi ini, yang ditubuhkan di kepulauan Seycelles, benar-benar sebuah syarikat yang “genuine”?  Sampai hari ini, tiada siapa pun dari kerajaan atau syarikat 1MDB – di media massa atau semasa dijemput oleh jawatankuasa kira-kira wang Negara (PAC) – memberikan keterangan mengenai nilai syarikat Petrosaudi ini.

Rakyat Malaysia tak tahu sama ada 1MDB telah pinjam US$1.2 bilion kepada sebuah syarikat kosong ataupun sebuah syarikat yang benar-benar bernilai berbilion-bilion US dolar.

Perkara ini amat penting kerana rakyat perlu diberikan keyakinan bahawa wang yang dipinjam kepada Petrosaudi akan dilabur dengan beramanah dan tidak akan hilang disonglap oleh pihak-pihak yang tertentu.  Kami percaya pihak 1MDB tentu ada rekod laporan kewangan syarikat Petrosaudi yang menyatakan aset-liabiliti dan juga untung-rugi syarikat tersebut.

Apa yang membimbangkan ialah pinjaman tersebut tidak dibuat dengan sebarang “ratings” oleh agensi penilaian tempatan atau antarabangsa.  Pinjaman bon atau sukuk yang dibuat dalam negeri pun memerlukan sokongan laporan dari Ratings Agency Malaysia (RAM) atau Malaysia Ratings Corporation (MARC).  Tetapi pinjaman sebanyak US$1.2 bilion yang dibuat dengan wang yang dijamin oleh rakyat Malaysia, langsung tidak memerlukan sebarang akreditasi daripada mana-mana pihak.

Keengganan kerajaan dan 1MDB untuk memberikan penjelasan yang menyeluruh membangkitkan rasa keraguan bahawan ini merupakan satu scam yang cukup besar dalam almari kerajaan Barisan Nasional.  Apakah yang diselindungi? Kalau Petrosaudi benar-benar hebat, bagi tahulah Dewan ini betapa hebat syarikat tersebut dengan angka-angka kunci kira-kira dan penyata kewangan.  Tapi jika diam membisu, ini bermaksud ada yang tidak mengena dan apa yang disyaki oleh pihak Pakatan Rakyat ini adalah berasas.

Apa yang lebih memeranjatkan adalah 1MDB bukan sahaja menukarkan equity kepada pinjaman pada  31 Mac 2010, 1MDB telah memberikan pinjaman tambahan sebanyak US$500 juta (atau RM1.6 bilion) kepada PetroSaudi International.

Kesemua maklumat ini terkandung dalam Penyata Kewangan 1MDB untuk tahun berakhiri Mac 2011 yang diperolehi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Penyata terkini ini dikemukakan kepada SSM pada October 2011.

Dan bila saya baca sampai hujung penyata, saya terkejut sekali lagi dalam seksyen “Subsequent events”, di mana dilaporkan bahawa 1MDB telah memberikan pinjaman tambahan sebanyak US$200 juta kepada anak syarikat Petrosaudi pada Mei 2011.

Maksudnya, walaupun anak syarikat Petrosaudi perlu membayar kadar kupon sebanyak US$105 juta setiap tahun kepada 1MDB, pinjaman tambahan yang dibuat adalah melebihi pulangan yang diterima.  Ini sudah nak jadi skim Ponzi haram.
Post a Comment