Tuesday, April 19, 2016

Kenyataan Media Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang Mewakili Pihak Pembangkang Parlimen Mengenai Laporan PAC Terhadap 1MDB

1. Laporan Ketua Audit Negara Mengenai 1MDB 

Kami  ingin  menegaskan  sekali  lagi  supaya  Pengerusi  PAC  memberikan  jaminan  bahawa Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB akan dibentangkan kepada Parlimen.

Keengganan  Pengerusi  PAC,  Datuk  Hasan  Arifin  untuk  mengulas  sebab  Laporan  tersebut tidak dibentangkan  bersama  Laporan  PAC  terhadap  1MDB  telah  menjejaskan integriti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan oleh Parlimen untuk menjaga penggunaan hasil kerajaan.

Apatah  lagi,  Pengerusi  PAC  telah  memberikan  gambaran  kepada  media  bahawa  Laporan PAC   tidak  mempersalahkan  Perdana  Menteri,  maka  tiadalah  keperluan  lagi  untuk merahsiakan Laporan Ketua Audit Negara.

2. Hansard Prosiding PAC Laporan

PAC  telah  mengandungi  Hansard  prosiding  PAC  yang  merakamkan segala  soalan, jawapan dan pembentangan oleh saksi-saksi yang dipanggil oleh jawatankuasa.

Akan tetapi, Hansard yang merekodkan

  • pembentangan  dan  perbincangan  Laporan  Ketua  Audit  Negara  antara  Jabatan Audit Negara dengan PAC
  • perbincangan  antara  ahli-ahli  PAC dan  juga  pegawai-pegawai  kerajaan  bertugas semasa menyediakan Laporan PAC 
tidak diterbitkan dan dibentangkan kepada Parlimen.

Hansard-Hansard  ini  merupakan  rekod  yang  penting  untuk  mendapatkan gambaran  yang lebih menyeluruh mengenai siasatan PAC ke atas 1MDB.

Tambahan  pula,  segala  mesyuarat  PAC  merupakan  mesyuarat  rasmi  di  bawah  Peraturan Mesyuarat  Dewan  Rakyat  di  mana  Hansard  atau  buku  penyata  rasmi  mesyuarat  perlu diterbitkan.

Peraturan  Mesyarat  10(1)  menyebut  bahawa sebuah  buku  penyata  rasmi  mesyuarat mengandungi  semua  ucapan-ucapan  yang  dikeluarkan  dalam  Majlis  Mesyuarat  dan  dalam Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat, hendaklah disediakan...͟

Oleh  itu,  kami  menggesa  supaya  Pengerusi  PAC  akan  menerbitkan  kesemua  Hansard  yang tertunggak sekurang-kurangnya di dalam laman web Parlimen.

3. Perbezaan antara Laporan PAC yang diluluskan dengan Laporan PAC yang diterbitkan 

Kami  telah  mendapati  bahawa  Pengerusi  PAC  telah  membuat  penyuntingan  yang sirius  ke atas Laporan yang telah diluluskan oleh mesyuarat PAC pada 4hb April 2016.

Laporan  PAC  pada   mukasurat  25,   menyebut   bahawa berdasarkan   dokumen   yang dikemukakan  oleh  Datuk  Shahrol  Azral  pada  5  Jun  2015  dan  kenyataan  beliau  semasa mesyuarat  Jawatankuasa  Kira-Kira  Wang  Negara  (PAC)  pada  25  November  2015,  akaun tersebut  adalah  milik  Good  Star  Limited  yang  merupakan  subsidiari  Kumpulan  PetroSaudi sejak 1 September 2009.

Akan  tetapi,  Pengerusi  PAC  telah  memotong  sepatah  ayat  lagi  yang  telah disetujui  dalam mesyuarat.  Ayat  tersebut  berbunyi Bank  Negara  Malaysia  (BNM)  telah  dimaklum  secara sukarela  oleh  pihak  berkuasa  negara  berkenan  bahawa  Good  Star  Limited merupakan sebuah syarikat  yang dimiliki  oleh  seorang  individu  yang tiada berkaitan dengan Kumpulan PetroSaudi.

Tindakan Pengerusi PAC untuk memotong ayat yang telah dipersetujui  oleh mesyuarat PAC merupakan  satu  tindakan  yang  jelas  melanggar  peraturan  mesyuarat  dan  menimbulkan kecurigaan  terhadap  niat  Pengerusi  untuk  menutup  kes.Datuk  Hasan  Arifin  tidak  pernah membincang perkara tersebut dengan kami, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Pada  masa  yang  sama,  atas  permintaan  PAC,  Datuk  Hasan  Arifin  juga  memaklum  bahawa beliau  telah  menulis  surat  kepada  Bank  Negara  untuk  mendapat  maklumat  tambahan mengenai  pemilik  individu  tersebut. Kami  belum  tahu  sama  ada  balasan  daripada  BNM telah diterima oleh Pengerusi.

Kami  menyeru  supaya  Datuk  Hasan  Arifin  memperbetulkan  Laporan  PAC  dengan  serta-merta melalui satu kertas pembetulan kepada Parlimen.

4. Pembatalan Perjanjian Debt-Asset Swap dengan IPIC 

Dengan   berita   terbaru   semalam   bahawa   pihak  International  Petroleum  Investment Corporation (IPIC)  telah  membatalkan  perjanjian  debt-asset  swap  dengan  1MDB,  kami meminta supaya Datuk Hasan Arifin akan memanggil mesyuarat PAC secepat mungkin untuk membincang perkara ini.

Ia  adalah  kerana  1MDB  telah  memberikan  gambaran  palsu  bahawa  pelan  rasionalisasi syarikat telah berjalan dengan lancar dan 1MDB  tidak akan memerlukan sebarang  bantuan daripada kerajaan untuk menyelesaikan pinjaman-pinjamannya yang melebihi RM50 bilion.

Akan  tetapi  semalam,  Kementerian  Kewangan  telah  mengeluarkan  kenyataan  bahawa kerajaan Malaysia akan menanggung kesemua obligasi 1MDB yang tidak dapat diselesaikan oleh syarikat.

Ahli-ahli  PAC  Pembangkang  bersedia  untuk  bekerjasama  dengan  ahli-ahli PAC  penyokong kerajaan untuk mendapatkan maklumat sebenar daripada siasatan tambah terhadap 1MDB.

Dikeluarkan oleh:
Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi PAC
Datuk Kamarul Baharin
William Leong
Datuk Takiyuddin Hassan
Tony Pua
Post a Comment