Monday, April 11, 2016

Kenyataan Media Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang Mewakili Pihak Pembangkang Parlimen Mengenai Laporan PAC Terhadap 1MDB


1. Laporan Ketua Audit Negara Mengenai 1MDB 

Kami  terkejut  dan  merasa  kecewa  apabila  Laporan  Ketua  Audit  Negara  tidak  dibentangkan kepada  Parlimen  bersama  dengan  Laporan  Jawatankuasa  Kira-Kira  Wang  Negara  (PAC) berkenan  syarikat  1Malaysia  Development  Bhd. Kesimpulan  PAC adalah  berdasarkan Laporan Ketua  Audit  Negara, maka  untuk  memahami  dan  mendapat  gambaran  yang  lebih teliti, rujukan perlu dibuat kepada Laporan tersebut.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin tidak pernah membangkitkan isu ini dalam mesyuarat PAC walaupun  secara  konvensyen,  Laporan  Ketua  Audit  Negara  dibentangkan  bersama  Laporan PAC.

Lagipun,  Pengerusi  PAC  telah  memberi  pengumuman  awam  di  mana  beliau  menegaskan bahawa  Laporan  Ketua  Audit  Negara  dirahsiakan  sehingga  Laporan  PAC  dibentangkan kepada Parlimen.

Ketua  Audit  Negara,  Tan  Sri  Ambrin  Buang  juga  telah  menerangkan  kepada  ahli-ahli  PAC bahawa  tindakan  merahsiakan  Laporan  beliau  adalah  hanya  untuk  mengelakkan pendedahan   maklumat   kepada  umum  sebelum  Laporan  PAC  disiapkan. Beliau  juga menyebut  bahawa sama ada  Laporannya  dibentangkan  adalah  terserah  kepada  keputusan PAC.

Kami   langsung  tidak  melihat  sebarang  keperluan  untuk  menyembunyikan sebarang maklumat yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara. Apatah lagi, kredibiliti PAC sebagai sebuah badan yang bebas akan terjejas akibat tindakan tidak menerbitkan Laporan Ketua Audit Negara.

Oleh  sebab  itu,  kami  menyeru  supaya  Laporan  Ketua  Audit  Negara  dibentangkan dalam Parlimen  untuk  menunjukkan  bahawa  pihak  PAC  telah  menjalankan  tugas  kita  secara  telus dan berintegriti.

2. PAC tidak pernah membuat keputusan bahawa Dato’ Seri Najib Razak tidak bersalah 

Datuk  Hasan  Arifin,  dalam  sesi  temu  ramah  dengan  Bernama,  telah  menyebut  perkara-perkara berikut:


  • Tiada bukti untuk mencadangkan berlaku salah laku jenayah berkaitan penyalahgunaan dana atau berlaku transaksi pelaburan mahupun pelaburan atau mana-mana aktiviti 1MDB yang menjurus kepada aktiviti menyalahi undang-undang.
  • PAC juga mendapati bahawa RM42 bilion hutang 1MDB tidak hilang sebagaimana tuduhan pelbagai pihak, kerana ia sudah dihitung dan tiada pembayaran dilakukan daripada 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri.
  • PAC tidak menemui sebarang bukti untuk menunjukkan salah laku atau salah guna kuasa Perdana Menteri, dan keputusan ini dibuat sebulat suara dan konsensus oleh kesemua anggota PAC. 

Kenyataan  Datuk  Hasan  Arifin  tidak  tepat  dan  tidak  benar.  Kami  ingin  memperbetulkan kenyataan  beliau  yang  jelas  tidak  mencerminkan  persidangan  dan  pendirian  PAC  dalam siasatan terhadap 1MDB.



Penjelasan kami: 
  • Laporan PAC langsung tidak menyebut bahawa tiada bukti untuk mencadangkan berlaku salahlaku jenayah berkaitan penyalahgunaan dana. Sebaliknya, Ketua Audit Negara dan PAC telah mendapati bahawa banyak perkara yang amat diragui dan mencurigakan telah berlaku termasuk bayaran berbilion-bilion ringgit kepada syarikat-syarikat asing yang tidak dapat dipastikan pemilikannya seperti Good Star Limited dan Aabar Investment PJS Limited. Oleh   sebab pegawai 1MDB dan Kementerian Kewangan tidak memberikan kerjasama untuk menyampaikan maklumat-maklumat penting ini, termasuk penyata bank (bank statements) 1MDB luar negeri dan dokumen pemilik saham syarikat-syarikat di atas, PAC telah menyeru supaya pihak berkuasa, yang termasuklah pihak polis untuk menyiasat.
  • PAC  juga  tidak  pernah  membincang  sama  ada  RM42  bilion hilang  kerana perkara   tersebut   tidak   terbangkit. Sebaliknya,  Ketua  Audit  Negara  telah melaporkan bahawa beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan nilai wang tunai dan aset yang dikemukakan oleh pihak 1MDB, termasuk: 
  1. US$1.03 bilion yang dibayar kepada Good Star Limited yang telah ditegur oleh Bank Negara Malaysia. 
  2. US$3.51 bilion yang dibayar kepada Aabar Investment PJS Limited atas alasan pembayaran deposit sekuriti, penamatan opsyen dan top-up sekuriti.
  3. US$940 juta yang berbentuk unit di BSI Bank, Singapura.
  4. US$1.56 bilion pelaburan oleh 1MDB Global Investment Limited 
          Ini  adalah  kerana  1MDB  langsung  tidak  menyampaikan  kesemua  dokumen  yang diperlukan, termasuk  penyata  bank  luar  negara. Oleh  sebab  itu,  ia  telah membangkitkan kerisauan antara kami  bahawa  wang  dan pelaburan 1MDB sebanyak US$7 bilion (RM28 bilion) telah hilang kerana tidak dapat dikesan.

          Pada masa yang sama, pihak PAC malangnya tidak dapat mengesahkan sama ada pembayaran dilakukan  daripada 1MDB  ke  akaun  peribadi  Perdana  Menteri kerana dokumen-dokumen yang   diperlukan seperti penyata bank tidak diserahkan kepada Ketua Audit Negara. 
  • PAC tidak pernah membuat sebarang keputusan bahawa Perdana Menteri tidak bersalah. Kami mencabar Datuk Hasan Arifin untuk mengemukakan bukti melalui Hansard yang dibentangkan bahawa keputusan ini dibuat dan dibuat sebulat suara dan konsensus oleh kesemua anggota PAC. Seperti yang dihuraikan diatas, tanpa kerjasama penuh daripada 1MDB dan Kementerian Kewangan, ahli-ahli PAC langsung tidak boleh membuat sebarang penetapan mengenai perkara ini. 
          Sebaliknya, dokumen-dokumen  yang  dapat  diperolehi  oleh  Ketua Audit Negara  menunjukkan bahawa  Dato  Seri  Najib  telah  meluluskan secara bertulis segala keputusan  syarikat  yang   penting,  termasuk  pelaburan  dengan  Petrosaudi International,  penerbitan  bon  sebanyak  US$6.5   bilion, pembelian syarikat-syarikat penjanakuasa bebas dan pemecatan juruaudit yang tidak setuju dengan pendirian 1MDB. 


Oleh sebab  itu, kami meminta supaya Pengerusi PAC menarik balik kenyataan  ini kerana  ia merupakan  kenyataan yang  langsung  tidak  berasas, yang  menyelewengkan  pendapat PAC dan   bersifat   bohong. Kami  berharap  supaya  Pengerusi  PAC tidak  menyalahgunakan jawatannya sebagai Pengerusi PAC, sebuah  jawatankuasa Parlimen untuk kepentingan politik BN dan Dato Seri Najib Razak. 

Dikeluarkan oleh: 
Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi PAC 
Datuk Kamarul Baharin 
William Leong 
Datuk Takiyuddin Hassan 
Tony Pua 

No comments: