Tuesday, May 24, 2016

DAP Selangor menyokong calon Pakatan Harapan dalam PRK Sungai Besar meskipun ia menjadi pertarungan 3-penjuru dengan BN dan PAS

DAP Selangor akan memberikan sokongan penuh kepada calon Pakatan Harapan dalam pilihanraya kecil Sungai Besar bulan depan.

Kami juga berpandangan bahawa Pakatan Harapan mesti meletak calon dalam pertarungan ini meskipun ia menjadi satu pemilihan 3-penjuru dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Saya telah mengunjungi kawasan parlimen Sungai Besar dan bersesi dialog dengan akar-umbi cawangan-cawangan DAP di pekan Sungai Besar dan Sekinchan pada hari Ahad yang lalu.

Suara akar-umbi yang mencerminkan kehendak penyokong parti terutamanya di kawasan perbandaran adalah jelas. Mereka tidak akan, dan tidak mahu menyokong parti PAS sebagai wakil pembangkang melawan BN. Malah, ada yang menyebut bahawa kalau terpaksa undi antara BN dan PAS, ada kemungkinan mereka akan memilih BN atas kekecewaan terhadap PAS. Mereka menganggap bahawa PAS telah mengkhianati undi mereka pada pilihanraya yang lalu kerana mereka telah mengkuburkan Pakatan Rakyat.

Apatah lagi, Malaysia kini dilandai satu krisis gergasi yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. Skandal RM55 bilion 1MDB dan “donation” Dato’ Seri Najib Razak berjumlah RM4.2 bilion yang telah menjadikan Malaysia sebagai bahan jenaka yang cukup memalukan di seluruh dunia.

Isu-isu ini sepatutnya menjadi fokus kepada pilihanraya-pilihanraya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar supaya ianya menjadi satu undi keyakinan terhadap pimpinan Dato’ Seri Najib Razak. Akan tetapi, rakyat tiada keyakinan bahawa parti PAS akan menyuarakan bantahan yang cukup nyaring dan pendirian yang cukup teguh terhadap skandal-skandal ini.

Malah, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang telah berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menumbangkan Dato’ Seri Najib Razak. Sebaliknya, beliau berkata bahawa Dato’ Seri Najib Razak perlu terus diberikan peluang untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri dan PAS hanya ingin menjadi “penasihat” kepada UMNO-Barisan Nasional.

Oleh sebab itu, adalah wajib supaya Pakatan Harapan diwakili dalam pilihanraya kecil ini supaya penyokong Pakatan Harapan yang begitu ramai dapat memilih parti yang benar-benar menentang kerajaan BN yang rakus dan rasuah.

Akibat keengganan Presiden PAS untuk berunding dengan Dato’ Seri Azmin Ali, cadangan PKR untuk meletakkan calon PKR di Sungai Besar bagi memastikan pertarungan satu-lawan-satu tidak akan terjadi.

Dengan itu, DAP Selangor akan memberikan sokongan seratus-peratus kepada calon Parti Amanah Negara yang mewakili Pakatan Harapan dalam pemilihan tiga-penjuru di Sungai Besar.

Walaupun ada pihak yang bimbang bahawa pemilihan tiga-penjuru berkemungkinan melemahkan undi pembangkang, kami percaya bahawa pengundi yang pintar akan tetap memberikan undi kepada Pakatan Harapan. Ini adalah kerana hanya gabungan politik Pakatan Harapan antara PKR, DAP dan Amanah mampu dan berpeluang untuk menewaskan BN dalam pilihanraya. Manakala PAS, secara tersendiri, tiada kemungkinan langsung untuk menubuhkan kerajaan. Oleh itu, pengundi Sungai Besar tidak akan membazirkan undi kepada parti yang tiada berkemampuan untuk membentuk kerajaan untuk mengganti BN.

Kami yakin bahawa dengan satu kempen yang berfokus dan cergas, Pakatan Harapan akan dapat memikat hati pengundi dan mencapai satu kemenangan pilihanraya kecil bersejarah yang akan menggempar bumi politik Malaysia.
Post a Comment