Thursday, August 22, 2013

Pihak Kementerian Enggan Menjemput Ahli Parlimen PR untuk Melawat Tapak Kerja KLIA2


Pada 20hb Ogos, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, beliau memberi jaminan dan yakin pembinaan KLIA-2 berjalan lancar seperti dijadualkan dan berpuas hati dengan kerja dilaksanakan kontraktor.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein juga telah memberikan jaminan sebelum ini bahawa lapang terbang kos rendah KLIA2 akan bermula operasi pada 2hb Mei 2014 dan tidak akan ditunda lagi.

Isu kelewatan pembinaan KLIA2 yang sepatutnya siap pada September 2011, dan peningkatan kos pembinaan daripada RM1.7 bilion sehingga memcecah RM4 bilion telah dibangkitkan oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat sejak 2 tahun yang lalu. Jaminan sebelum ini telah diberikan oleh pihak kerajaan dan juga Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bahawa kos tidak akan meningkat dan kerja pembinaan tidak akan lewat. Akan tetapi, akhirnya, pihak MAHB terpaksa mengakui bahawa projek ini tidak dapat disiap mengikut jadual dan kos telah melonjak ke RM4 bilion.

Sejak 2 tahun yang lalu, kami telah meminta satu sesi perjumpaan dengan pihak Menteri dan lawatan ke tapak pembinaan KLIA2. Kali terakhir permintaan ini dibuat semasa parlimen bersidang pada bulan Jun dan Datuk Abdul Aziz Kaprawi telah menjawab bahawa permintaan ini akan dipertimbangkan.

Akan tetapi, sehingga hari ini, permintaan kami masih belum ditunaikan dan nampaknya pihak Menteri langsung tidak berkeyakinan bahawa projek KLIA2 dapat disiapkan seperti yang dilaporkan. Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang telah dilantik sebagai Ketua “KLIA2 Taskforce” berkuasa untuk melibatkan pihak kami dalam satu lawatan ke tapak pembinaan untuk menghancurkan “once and for all”, kritikan daripada kami.

Tetapi nampaknya pihak kementerian langsung tidak bersifat telus dan tidak berani berbuat begitu kerana adanya udang disebalik batu yang tidak dilaporkan kepada media mengenai projek ini.

Kita dapat perhati bahawa sikap MAHB dan Kementerian selama ini adalah untuk menuding jari kepada pihak lain selama ini tanpa mengakui bahawa keputusan-keputusan MAHB untuk memindahkan tapak KLIA2 dan juga ketidakcekapan pengurusan projek telah menyebabkan penundaan projek berkali-kali.

Kesemua pihak di atas telah menafikan tuduhan daripada MAHB dan rakyat masih berkabur dan tidak mendapat kebenaran dalam skandal yang telah memakan perbelanjaan sebanyak RM4 billion ini. Akibat peningkatan kos, MAHB sekarang telah dilaporkan terpaksa meminjam lagi sebanyak RM1 bilion melalui penawaran sukuk dengan kos yang lebih tinggi.

Sikap kerahsiaan daripada MAHB dan kementerian menunjukkan bahawa segala jaminan yang diberi oleh kedua-dua pihak adalah jaminan kosong dan ada isu-isu besar yang ingin dikuburkan supaya rakyat tidak akan mengetahui kebenaran atau pihak yang bersalah tidak akan dikenakan sebarang hukuman.
Post a Comment