Monday, November 01, 2010

A Challenge for Utusan to Debate

DAP mencabar “Awang Selamat” untuk mengadakan pembahasan terbuka mengenai isu “DAP dan Melayu”

Sekali lagi pihak penyunting dan pemilik Utusan Malaysia menggunakan kolum “Awang Selamat” untuk melontar pelbagai fitnah, pembohongan dan tuduhan liar terhadap parti DAP. Ruang beliau dalam Mingguan Malaysia yang diterbitkan semalam mendesak bahawa

Sesungguhnya DAP adalah parti paling rasis di dunia. Pada Awang, ancaman DAP adalah jauh lebih berbahaya daripada apa-apa ancaman sekalipun yang pernah dihadapi dalam sejarah tanah air. Cuma bentuk penjajahan mereka lebih halus, berselindung atas slogan demokrasi dan tanpa menggunakan senjata. Tetapi implikasinya amat besar. Perlembagaan termasuk kedudukan Islam dan institusi beraja menjadi taruhan, yang akhirnya membawa Malaysia menuju negara republik. Apakah itu yang kita mahu?

Penyerangan Utusan yang dimiliki oleh Umno terhadap DAP kian lama kian ekstrim dan keterlaluan. Penyerangan mereka termasuklah penyerangan terhadap kerajaan Pulau Pinang atas dasar kebajikan, pengambil-alihan tanah untuk membina hub pendidikan, isu penjaja-penjaja dan lain-lain perkara di mana kami dituduh menghalau orang Melayu dari Pulau Pinang. Utusan Malaysia juga telah menyerang bertubi-tubi terhadap pemimpin DAP yang lain termasuklah Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang difitnah memberikan takzirah dalam surau, dan juga saya sendiri yang dikatakan berniat untuk menghapuskan hak diskaun beli rumah bumiputera.

Demi mengemukakan kebenaran dan keadilan, saya ingin mencabar “Awang Selamat”, yang boleh diwakili oleh sesiapa daripada Utusan Malaysia untuk mengambil bahagian dalam satu perbahasan terbuka mengenai desakan-desakan Utusan dan Umno mengenai “DAP dan Melayu”.

Penyunting dan pemilik Utusan Malaysia tidak sepatutnya menyembunyikan diri mereka yang sebenar di belakang nama pena dan meluahkan pelbagai tuduhan tanpa berasas seperti penembak curi. Kami ingin memberikan peluang terbuka kepada pihak Utusan Malaysia untuk membela pendirian mereka seperti hulubalang kaum yang tulen, dan bukannya bertindak sebagai pengecut apabila menghadapi cabaran.

Kami dari DAP ingin membuktikan bukan sahaja bahawa kami tidak bertindak rasis, kami telah bersama dengan rakan seperjuangan kami di Pakatan Rakyat, menambah baikkan nasib orang Melayu bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di negeri lain di mana DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

Kami ingin membongkarkan bukti-bukti yang kukuh yang menunjukkan sesungguhnya Utusan Malaysia merupakan suratkhabar yang paling rasis di seluruh dunia ancaman Utusan adalah jauh lebih berbahaya daripada apa-apa ancaman sekalipun yang pernah dihadapi dalam sejarah tanah air.

Kami berani kerana benar dan kami berharap supaya pihak Utusan mempunyai keberanian yang mencukupi untuk menghadapi pihak DAP yang dikatakan sebagai musuh utama mereka. Penolakan peluang untuk pembahasan terbuka ini hanya akan menunjukkan bahawa pihak Utusan tidak berintegriti, dan tidak mampu mempertahankan pendirian mereka yang bersifat fitnah dan rasis.

Pembahasan ini boleh dianjurkan oleh mana-mana pihak bebas termasuk Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ) ataupun TV3 dan format pembahasan boleh dipersetujui sebelum acara tersebut. Kami sedia menunggu berita baik daripada pihak Utusan Malaysia.
Post a Comment