Tuesday, December 05, 2017

Sedangkan Menteri Besar Johor Dato’ Seri Khaled Nordin tidak mengaku salah, SPRM mesti menjalankan siasatan penuh untuk membersihkan nama beliau

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menafikan dakwaan yang beliau terlibat dalam rasuah berkaitan hartanah di negeri itu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tak berasas tersebut. Ia adalah fitnah, tidak benar dan tidak bersangkutan dengan saya.

"Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan kepada saya dan pentadbiran saya," katanya.

Minggu lalu, saya telah menyoal Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kenapa tidak menjalankan siasatan ke atas Menteri Besar Johor berdasarkan dokumen kenyataan saksi SPRM, Amir Shariffuddin Abd Raub, yang bocor di internet.

Datuk Seri Mohamed Khaled dituduh menerima sebanyak RM12 juta daripada Amir pada tarikh-tarikh yang tertentu, berkaitan dengan kes rasuah bekas exco kerajaan negeri Datuk Abdul Latif Bandi awal tahun ini.

SPRM kemudian mengesahkan kebocoran dokumen tersebut, walaupun Amir mendakwa kenyataannya dalam dokumen yang tersebar itu tidak lengkap dan telah membuat laporan polis.

Kami menyambut baik penafian keras daripada Menteri Besar Johor.  Kenyataan yang telah dibuat di dalam Dewan Undangan Negeri tersebut adalah jauh berbanding dengan sikap Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak yang sehingga hari ini, masih enggan membuat sebarang kenyataan kepada Dewan Rakyat mengenai jumlah wang melebih RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadinya.

Akan tetapi, jika Menteri Besar benar-benar tidak bersalah, kenapa SPRM langsung tidak menjalankan sebarang siasat terhadapnya supaya kebenaran dapat ditetapkan dan kes ini boleh ditutup?

Apatah lagi, jika kenyataan saksi Amir Shariffuddin digunakan untuk mendakwa kes Datuk Abdul Latif, bukankan ianya penting bahawa kenyataan beliau adalah benar dan boleh dipercayai (“credible”) pada keseluruhannya?

Maksudnya jika kenyataan Amir di mana beliau telah menyerahkan sebanyak RM12 juta kepada Dato’ Seri Khaled adalah tidak benar, ia bermakna bahawa kenyataan Amir tidak boleh sama sekali digunakan terhadap Datuk Abdul Latif.  Akan tetapi, jika kenyataan Amir boleh dipercayai dan berasas kukuh untuk digunakan mendakwa Datuk Abdul Latif, maka bahagian-bahagian yang melibatkan Menteri Besar Johor juga mesti disiasat.

Oleh itu, kami menyeru supaya Dato’ Seri Khaled meminta SPRM membuka siasatan terhadapnya secara terbuka supaya SPRM dapat mengesahkan penafiannya.  Ini adalah penting untuk menyakinkan rakyat jelata bahawa tuduhan tersebut adalah benar-benar tidak berasas dan nama baik Menteri Besar Johor dapat dipulihkan.

Pada masa yang sama, kami terus menyeru SPRM menyiasat tuduhan rasuah terhadap Menteri Besar Johor supaya institusi SPRM menjalankan tugas mereka dengan penuh integriti, dan tidak dilihat berat sebelah.

Ia juga akan memastikan supaya kes Datuk Abdul Latif yang bergantung antaranya kepada kenyataan Amir tidak akan terjejas akibat perkara ini.  Pada masa yang sama, jikalau kenyataan saksi Amir adalah tidak benar, SPRM mesti menambahkan dakwaan terhadap beliau kerana memberi kenyataan palsu.

No comments: