Wednesday, June 15, 2016

Arul Kanda begitu berluang masa berkempen untuk Barisan Nasional di Sungai Besar, tetapi tidak berani berdebat dengan saya mengenai 1MDB

Saya  ingin  menjemput  Arul  Kanda  yang  begitu  berluang  masa  dapat  berkempen  untuk Barisan  Nasional,  tapi  tidak  berani  berdebat  dengan  saya  untuk  memberikan  penjelasan kepada  orang  ramai  di  mana-mana  satu  ceramah  yang  dianjurkan  oleh  Pakatan  Harapan malam ini atau esok.

Saya  dimaklumkan  bahawa  Arul  Kanda  telah  berucap  di  program  Wacana  Isu  Semasa Negara, bersama penjawat awam yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Pasir Panjang.  Ini  sangat  menghairankan  saya,  dan  saya  pasti  ramai  yang  lain  juga  turut  tertanya-tanya; apa yang Arul Kanda sedang buat di Sungai Besar?

Bukankah  beliau  selalu  menegaskan  bahawa  beliau  bukan  seorang  ahli  politik  dan  tidak berniat untuk tersangkut dengan pengupasan politik Malaysia?

Saya   sangat   kecewa   kerana   Arul   Kanda   nampaknya   boleh   meluangkan   masa   untuk berkempen  bagi  pihak  Barisan  Nasional  tetapi  telah  menarik  balik persetujuan  untuk berdebat dengan saya tentang isu-isu berkait 1MDB.

Beliau  telah  sebelum  ini  memberikan  alasan  untuk  menolak  sesi  debat  tersebut  bahawa beliau   perlu   memberikan   tumpuan   khusus   untuk   membantu   penyiasatan   oleh   pihak berkuasa  di  Malaysia  dan  menyelesaikan  masalah  rumit  1MDB  dengan  syarikat  kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC).

Adakah  penyiasatan  dan  masalah  dengan  IPIC  yang  membabitkan  jumlah  sebanyak  US$6.5 bilion sudah diselesai?

Apatah  lagi  setelah  International  Petroleum  Investment  Company  PJSC  (IPIC)  dan  Aabar Investments  PJS  (Aabar)  telah  memfailkan  kes  arbitrasi  terhadap  1MDB di  Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa, London.

Takkanlah Arul Kanda mempunyai begitu banyak masa terluang serta mampu meninggalkan kerja-kerja  yang  lebih  penting  setelah  1MDB  disaman  dengan  tuntutan  berjumlah  US$6.5 bilion selain terlibat dalam siasatan di dalam dan luar negara?

Arul   Kanda   barangkali   CEO   paling   tidak   boleh   diharap   setelah   berulang   kali   terbukti mengabaikan  tanggungjawabnya  dan  gagal  menepati  kata-kata  bahawa  kononnya semua permasalahan 1MDB sudah pun diselesaikan. Penyelesaian kepada masalah saman arbitrasi terhadap  1MDB tidak akan membolehkan beliau  temui di Sg Besar. Kecuali Arul Kanda  dan 1MDB kini berminat dengan pelaburan sawah padi atau kapal nelayan.

Atas  kelalaian  dan  sikap  bersahaja  beliau  sehingga  boleh  membuang  masa  berkempen untuk Barisan Nasional, Arul Kanda sewajarnya dipecat oleh Lembaga Pengarah 1MDB yang baru kerana telah gagal melaksanakan tugas.

Jika Arul Kanda boleh bersenang-senang makan angin di Sekinchan, dan membantu jentera kempen  Barisan  Nasional,  saya  ingin  menjemput  beliau  untuk  memberikan  penjelas  1MDB kepada  seluruh  pengundi  Sg  Besar  di  mana-mana  ceramah  yang  dianjurkan  oleh  Pakatan Harapan malam ini atau malam esok.

Saya  percaya  orang  awam  yang  sekarang  cukup  kecewa  dan  marah  dengan  kerajaan pimpinan  Dato’  Seri  Najib  Razak  amat  mengalu-alukan  penjelasan  daripada  Arul  Kanda mengenai skandal gergasi 1MDB.

No comments: