Wednesday, July 30, 2014

Dr Mohd Zuhdi Marzuki Perlu Meminta Maaf Atas Pendapat Yang Rasis Dan Ekstremis

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki perlu
meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia ke atas pendapat beliau yang
bersifat rasis dan ekstremis.

Berikutan kontroversi yang terbangkit seteleh mesej WhatsApp Dr Mohd Zuhdi Marzuki
dalam kumpulan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat terdedah secara meluas, beliau telah
menjelaskan bahawa beliau “tidak termasuk dalam senarai mereka yang menyokong usul
keluar PR itu.”

Beliau berkata “semoga dengan penjelasan ini, nama saya dapat dibersihkan daripada
tanggapan buruk pelbagai golongan ekoran sikap segelintir pihak di dalam PAS yang
membangkitkan fitnah yang sedang tidur."

Rakyat Malaysia tidak mempertikaikan langkah Dr Mohd Zuhdi mengkaji sama ada PAS patut
berada di dalam ataupun keluar daripada gabungan Pakatan Rakyat. Pendirian Dr Mohd
Zuhdi untuk keluar atau kekal dalam Pakatan juga tidak merupakan tumpuan kritikan. Itu
merupakan hak ahli PAS.


Walaupun ramai akan berasa kecewa jika PAS memutuskan pendirian untuk bercerai dengan
PKR dan DAP, isu yang memarahkan rakyat adalah isi kandungan analisa beliau, dan
bukannya pembentangan analisa tersebut.

Yang mencetuskan kontroversi adalah isi kandungan mesej beliau bahawa selepas
penceraian daripada Pakatan, "DAP, gereja dan non-Muslim melalak isu serbuan, kalimah
Allah, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula
kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana suara non-muslim, gereja, kita boleh sergah
macam sebelum ini.”

‘Analisa’ Dr Mohd Zuhdi jelas menunjukkan fikiran rasis dan ekstremis beliau di mana hak
rakyat Malaysia yang bukan Islam dan bukan Melayu dijentik dan disergah. Dr Mohd Zuhdi
berpendapat bahawa antara faedah penceraian adalah ia dapat “kembaliankan semula kuasa
politik Melayu Islam”.

Penjelasan dalam Facebook yang dibuat oleh Dr Mohd Zuhdi ke atas kontroversi yang
terbangkit langsung tidak menyentuh isu isi kandungan analisa beliau yang rasis dan
ekstremis.

Isunya bukan sama ada perbincangan Dr Mohd Zuhdi dalam WhatsApp adalah sulit, atau
“scenario”, atau pendirian peribadi. Isunya ialah Dr Mohd Zuhdi telah membongkarkan
fikiran dan sifat rasis dan ekstremis beliau dalam analisanya.

Oleh sebab itu, nama beliau masih tidak “dapat dibersihkan daripada tanggapan buruk
pelbagai golongan.”

Rakyat Malaysia meminta supaya Dr Mohd Zuhdi menyedari pemikiran sempit beliau dan
memohon maaf ke atas pendapat beliau. Kalau pemikiran yang rasis dan ekstremis tersebut
tidak dikesali, kami tidak beringin Dr Mohd Zuhdi terus berada dalam Pakatan Rakyat,
mahupun beliau mungkin tidak berniat keluar. Pada masa yang sama, kami berharap supaya PAS mengambil tindakan ke atas pemimpin-pemimpin yang berpemikiran sempit seperti Dr Mohd Zuhdi supaya nama baik parti PAS yang berslogan “PAS for All” tidak terus tercemar.
Post a Comment